Sabtu, 01 Februari 2014

Pendekatan ‘Tembak Dahulu’ Langgar Hak Asasi


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa berasa kecewa dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kononnya membenarkan pendekatan ‘tembak dahulu’ oleh polis untuk menangani penjenayah.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam mendakwa, Menteri Dalam Negeri pada satu majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat di Ayer Keroh, Melaka pada 6 Oktober lalu menyebut bahawa ahli kumpulan kongsi gelap akan “ditembak dahulu” tanpa sebarang amaran sekiranya bukti diperolehi oleh pihak polis.

“Pendekatan yang digalakkan oleh menteri itu bertentangan dengan prinsip asas hak asasi manusia  terutama hak kepada nyawa dan hak kepada perbicaraan yang adil dan mendapat perlindungan sama rata seperti yang dijamin oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan membenarkan pihak berkuasa melaksanakan undang-undang di tangan sendiri menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan sistem pengadilan jenayah yang wajib ditegakkan oleh pihak kerajaan dengan niat baik dalam sistem demokrasi,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Hasmy seterusnya mendakwa, kenyataan Zahid tersebut boleh menjejaskan rekod hak asasi manusia Malaysia akan diteliti di bawah Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia pada hujung bulan ini dan kemungkinan besar menerima kritikan oleh komuniti antarabangsa.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang hadir pada majlis takilmat tersebut bagaimanapun menafikan dakwaan yang dilemparkan oleh portal berita propembangkang dengan menyifatkan ia sebagai satu fitnah.

0 komentar:

Posting Komentar